SHAH ALAM – Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengalu-alukan MCA dan MIC untuk bersama-sama mereka dilihat salah dari sudut strategi kerana kedua-duanya berisiko tenggelam serta berpotensi kehilangan undi tradisi.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pendekatan sebegitu mungkin menguatkan Pas tetapi akan melemahkan lagi MCA dan MIC.
Menurutnya, ia disebabkan rata-rata pengundi Cina dan India belum mampu atau tidak akan menerima Pas selagi parti itu masih berpegang kepada pelaksanaan sistem perundangan Islam dalam masyarakat majmuk yang juga akan meletakkan masyarakat bukan Islam di bawah kategori lebih rendah, misalnya kafir harbi serta kafir zimmi.
“Lebih manis sekiranya Tuan Ibrahim atas kapasiti Perikatan Nasional (PN) atau pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjemput MCA dan MIC bagi pihak PN.
“Apa yang berlaku pada DAP tahun 1999, di mana mereka cuma menang lima peratus kerusi iaitu 10 daripada 193 kerusi, akan terjadi pada MCA dan MIC sekiranya mengharapkan sokongan pengundi Pas. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
“Jemputan Tuan Ibrahim walaupun manis di mulut tetapi semestinya tidak enak di hati masyarakat Cina dan India selagi Pas tidak mengubah wajah mereka daripada konservatif kepada lebih terbuka,” kata Lian Ker menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
**media[3258668]**
Sebelum ini, media melaporkan Tuan Ibrahim menjemput kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu untuk bergabung sambil mengambil maklum kekecewaan MCA dan MIC kerana dibiarkan tanpa perwakilan dalam kerajaan.
Gesaan Tuan Ibrahim dibuat selepas sekurang-kurangnya dua bahagian MIC negeri memohon untuk keluar daripada BN kerana kecewa dipinggirkan.
Lian Ker berpandangan, sekiranya asas jemputan semata-mata mahu mencukupkan angka, ia bukan kerjasama politik sebaliknya projek menambah kerusi sandaran atau tahaluf siyasi yang pernah dilaungkan Pas dan DAP.
Justeru, katanya, Pas perlu menunjukkan bahawa partinya bukan berasaskan perkauman, tetapi menegakkan keadilan dan rukun ketuhanan yang sejati.
Sebagai permulaannya, Lian Ker berpendapat Pas patut menyokong pemilihan ahli majlis tempatan atas prinsip demokrasi, bukannya menentang kerana fobia perkauman.
“Lebih-lebih lagi setelah DAP memomokkan pengundi Cina dan India bahawa Pas akan mentadbir negara ini secara ‘taliban’ serta kemunculan gelombang hijau yang memungkinkan Perdana Menteri daripada Pas buat pertama kalinya. Inilah yang mereka gentar selama ini.
“Pas perlulah menyederhanakan diri melalui permuakatan PN atau mengubah pendekatan politik parti daripada penekanan agama dan kaum kepada keadilan sosial, kemanusiaan serta kebajikan umat sejagat.
“Kerjasama dengan MCA, MIC atau sesiapa pun mesti berpijak kepada nilai murni bersama, bukan sekadar janji manis di pentas ceramah. Prinsip kesederhanaan, amalan demokrasi sejati, meritokrasi dan daya saing serta kemajmukan mesti dijadikan teras perjuangan,” ujarnya.